FEBRUARI 2022

RM3.89 Bilion Nilai Eksport Produk Perkayuan Dicatatkan Pada 2021


KUCHING: Nilai eksport produk berasaskan perkayuan Sarawak pada tahun 2021 adalah sebanyak RM3.89 bilion berbanding tahun 2020 iaitu berjumlah RM3.7 bilion.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, nilai peningkatan eksport itu menunjukkan keadaan ekonomi global mulai beransur pulih.

Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Sarawak itu juga memberitahu, permintaan terhadap bahan komoditi seperti produk perkayuan turut mencatatkan sedikit peningkatan.

“Secara terperinci, papan lapis kekal sebagai produk perkayuan utama yang dieksport.

“Produk perkayuan utama lain yang dieksport adalah balak, kayu bergergaji, papan gentian dan kayu racik.

“Usaha sedang dipergiatkan oleh PUSAKA untuk terus memperkasakan industri perkayuan kepada industri nilai tambah tinggi bagi mencapai unjuran nilai eksport RM8 bilion pada tahun 2030,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Hari Integriti dan Inovasi Dan Perhimpunan Perdana PUSAKA 2022, pada Rabu.

Selain itu, kerajaan juga menggalakkan pembangunan ladang buluh di Sarawak bagi memastikan bekalan buluh mencukupi.

Katanya, ia bagi menyokong pembangunan industri hiliran berasaskan buluh seperti perabot, kraftangan, kosmetik, bahan bakar dan makanan dengan anggaran nilai eksport RM250 juta menjelang 2030.-EDISI UKAS

Sumber dari : UKAS